INTEL 13 Bantu Halatuju Pelajar

Alhamdulillah, program tahunan alumni Interaksi Bersama Alumni 2013 (INTEL 13) pada tahun ini telah berjalan dengan jayanya walaupun dalam keadaan cuaca berjerebu. INTEL 13 pada kali ini telah disusun oleh Batch SPM 2009 yang diketuai oleh saudara Afiq Muizzuddin bersama-sama rakan seangkatan dengannya untuk pelajar tingkatan 5 untuk SPM 2013. Tidak lupa juga dibantu oleh batch SPM 2010 yang mana mengikut perancangan awal akan menjalankan interaksi bersama para pelajar PMR 2013 namun disebabkan keadaan cuaca yang berjerebu, program bersama pelajar tingkatan 3 tidak dapat dijalankan.

Kekangan cuaca sememangnya tidak menjadi halangan kepada Alumni untuk melakukan program yang dirancangkan walaupun terpaksa dijalankan hanya di dalam dewan. Perancangan awal alumni sememangnya amat membantu dalam kelancaran program ini.


Secara ringkas, beberapa pengisian telah dibuat antaranya pendedahan mengenai perkongsian haluan selepas SPM, perkongsian persediaan untuk temuduga bagi mendapatkan biasiswa, perkongsian pengalaman ketika di IPT, perkongsian bidang dan kos yang berkaitan, membina minda yang kreatif dan inovatif, dan peringatan untuk menjadi seorang yang lebih bersahsiah tinggi. 



Perjalanan program yang santai membuatkan para pelajar lebih seronok dan lebih bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pelbagai maklumat daripada para alumni yang hadir daripada pelbagai latar belakang kos yang mereka pelajari. Antaranya dalam bidang kejuruteraan, kedoktoran, perakaunan, sains biologi, perundangan, penerbangan, sains aktuari, dan juga perkapalan. Kesemua alumni dilihat tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan malah lebih bersemangat demi membantu adik-adik agar lebih jelas akan hala tuju pada masa yang akan datang.


Penglibatan alumni daripada pelbagai peringkat batch juga menjadikan INTEL 13 kali ini lebih menarik dan lebih menjadikan para pelajar teruja dengan kesungguhan para alumni yang sanggup meluangkan masa, tenaga dan wang ringgit bagi menjayakan program ini atas dasar kebertanggungjawaban untuk menyumbang kepada masyarakat. Hal ini diharapkan dapat memastikan agar prestasi sekolah akan dapat terus dikekal dan dipertingkatkan setiap tahun dengan sumbangan yang diberikan pihak alumni.


Para pelajar dilihat lebih bersemangat dan lebih mesra apabila dapat berinteraksi dengan para fasilitator yang hadir membantu mereka di dalam LDK walaupun dalam tempoh masa yang singkat. Dan diharapkan ianya akan menjadi satu titik permulaan untuk adik-adik tingkatan 5 bagi menempoh peperiksaan SPM 2013 kelak. Program yang ditutup dengan ucapan ringkas oleh HEM Cikgu Ramli dan penyampaian cenderahati kepada semua fasilitator INTEL 2013 telah dilangsungkan secara ringkas dan santai sahaja. 

Kami pihak ALUMNI mendoakan agar anda semua dapat mengekalkan momentum semangat yang telah diperolehi sepanjang INTEL ini untuk menempuhi peperiksaan SPM dan juga untuk menghadapi laluan selepas SPM yang akan datang. Semoga doa yang dibacakan oleh saudara Tariq khas untuk adik-adik tingkatan 5 yang telah diaminkan bersama-sama akan dimakbulkan Allah dengan syarat usaha perlulah dilakukan seniring dengan doa kepada Allah s.w.t. InshaAllah. Akhir kata. 

Selamat berjaya dan selamat berjumpa di puncak kejayaan. Amin...

Untuk gambar sepanjang program INTEL 2013, anda bolehlah ke FB Alumni SBPI Selandar di SINI.

Sekian, Terima kasih.  


Ulasan

  1. Majulah sains aktuari utk negara, eheh, :P

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apakah Itu Kejuruteraan Geomatik UTM?

Kongsi: The Truth about Actuarial Science?

Program Usahawantani 2013 Untuk Lepasan Diploma dan Ijazah