Hasil Kajian Program Interaksi Bersama Alumni (INTEL) 2009
Pada 19-21 Jun 2009, telah berlangsung program Interaksi Bersama Alumni (INTEL 09) anjuran ALUMNI SBPI Selandar dengan kerjasama pihak sekolah yang kedua kalinya diadakan. Program ini yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar tingkatan lima khususnya mengenai hala tuju selepas SPM. Program yang diadakan secara santai itu telah dihadiri oleh beberapa batch bekas pelajar SPM 2005, SPM 2006 dan SPM 2007. Dianggarkan seramai lebih kurang 30 orang bekas pelajar telah membantu untuk menjayakan program tersebut.
Program ini telah dibahagikan kepada 3 slot utama untuk pendedahan tersebut. Antaranya adalah slot mengenai hala tuju lepas SPM yang mana para pelajar didedahkan dengan pelbagai pilihan laluan yang boleh dipilih untuk melanjutkan pengajian, antaranya Foundation, Matrikulasi, Asasi, Diploma, STPM, Maktab, Politeknik dan sebagainya. Slot ini juga merangkumi penerangan mengenai tajaan biasiswa dan pinjaman seperti JPA, MARA, PTPTN dan tajaan-tajaan lain. Slot kedua adalah pendedahan mengenai institusi pengajian tinggi yang mana mendedahkan mengenai syarat-syarat kelayakan dan peluang-peluang yang ditawarkan oleh pihak IPT tesebut. Manakala slot yang terakhir, para pelajar telah didedahkan dengan kepelbagaian kos yang boleh diambil untuk melanjutkan pengajian seperti bidang kejuruteraan, perubatan, sains gunaan, perundangan, perguruan dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, program ini juga telah diselitkan dengan LDK dan permainan yang mana mempunyai pelbagai aktiviti menarik yang bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni dan mendorong para pelajar dalam membuat keputusan yang tepat kelak. Di samping itu, pelbagai aktiviti yang dijalankan juga bertujuan untuk membantu para pelajar supaya berfikir lebih jauh dan kreatif. Setiap aktiviti program ini mengambil kira matlamat utama untuk kumpulan sasar, iaitu pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki SPM tidak lama lagi. Diharapkan program ini akan akan dapat diperbaiki pada masa-masa yang akan datang bagi memastikan setiap aktiviti dapat membantu para pelajar dan matlamat program tercapai.
Ulasan hasil analisis soal selidik INTEL 2009
Mengikut analisis kajian yang dijalankan, seramai 91 orang pelajar yang memberikan respon ketika soal selidik dijalankan. Oleh itu, kajian hanya berdasarkan kepada 91 orang pelajar sahaja sebagai penanda aras untuk tahun ini.
70.33% pelajar sangat setuju mereka berminat untuk mengikuti program ini, iaitu seramai 64 pelajar daripada 91 responden, diikuti 25.27% setuju yang mereka berminat, 3.30% tidak pasti dan 1.10% Sangat tidak setuju mereka berminat. Hal ini mungkin disebabkan kepadatan aktiviti setiap minggu yang dijalankan melibatkan mereka.
70.33% pelajar juga sangat setuju bahawa mereka memahami tujuan program ini, diikuti 27.47% setuju dan masing-masing 1.10% untuk tidak pasti dan sangat tidak setuju bahawa mereka memahami program ini. Perkara ini mungkin disebabkan kurang perhatian para pelajar apabila pengumuman program ini dibuat kepada para pelajar.
60.44% sangat setuju bahawa mereka seronok dengan slot-slot yang dijalankan, diikuti 32.97% setuju yang gembira, 5.49% mengatakan ianya memuaskan dan 1.10% menyatakan sangat tidak setuju mereka gembira. Hal ini mungkin disebabkan faktor persekitaran dan ditambah pula dengan aktiviti yang terpaksa dipinda disaat-saat akhir atas sebab pelajar mempunyai aktiviti lain dan terpaksa meninggalkan program.
51.65% pelajar Sangat Setuju mereka memahami matlamat setiap aktiviti yang dijalankan khususnya dalam LDK, diikuti 43.96% Setuju, 3.30% Tak Pasti dan 1.10% Tidak Setuju bahawa mereka memahami matlamat aktiviti tersebut. Hal ini disebabkan masa yang terlalu singkat untuk menerangkan secara khusus matlamat dan falsafah setiap aktiviti tersebut.
72.53% menyatakan mereka Sangat Setuju telah mendapat sesuatu yang baru dan berguna ketika mengikuti program ini, diikuti 24.18% Setuju, 2.20% Tidak Pasti dan 1.10% Tidak Setuju bahawa mereka mendapat sesuatu perkara yang baru dan berguna. Hal ini mungkin adalah disebabkan oleh sebahagian besar yang diberikan kepada mereka oleh fasilitator adalah sesuatu yang sukar diperolehi daripada program-program lain yang dijalankan di sekolah.
68.13% Sangat Setuju bahawa mereka berpuas hati dengan program ini, diikuti 29.67% Setuju,dan masing-masing 1.10% Tidak Pasti dan Sangat Tidak Setuju bahawa mereka berpuas hati dengan program ini. Hal ini disebabkan para pelajar tidak dapat menyertai program ini sepenuh masa dan tidak dapat mengikuti dengan selesa setiap aktiviti yang dijalankan.
34.07% Sangat Setuju mereka telah bersedia untuk hala tuju selepas SPM, diikuti 47.25% Setuju, 17.58% Tidak Pasti dan 1.10% Sangat Tidak Setuju bahawa mereka telah bersedia untuk hala tuju selepas SPM. Hal ini disebabkan tidak kesemua maklumat yang disampaikan adalah menyeluruh, kerana terdapat beberapa bahagian kos dan pengajian yang fasilitatornya tidak dapat hadir buat masa ini atas urusan pengajian.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa keseluruhan matlamat utama program INTEL 09 telah tercapai berdasarkan hasil tiga tahap utama penilaian yang diperolehi iaitu 94.03% ditahap Baik, 4.87% ditahap Sederhana dan 1.10% ditahap Lemah. Oleh yang demikian, saya ingin menggariskan beberapa penambahbaikkan program ini di tahun-tahun yang akan datang :-
- Perlunya persediaan sekurang-kurangnya 5 orang yang pernah berada di salah satu peringkat yang setaraf seperti matrikulasi, asasi (UIA, UM, UitM), pra-U, Persediaan, diploma, maktab, politeknik dan sebagainya.
- Perlunya wakil daripada institut-institut pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara sekurang-kurangnya 6 orang tidak termasuk luar negara.
- Perlunya wakil daripada pelbagai kos yang berbeza sekurang-kurangnya 6 profession seperti kejuruteraan (kimia, awam, elektrikal dan sebagainya), perubatan (medik, dental, farmasi dan sebagainya), sains gunaan (bioteknologi, biokimia, mikrobiologi, ekologi, biokesihatan dan sebagainya), Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), perundangan, perguruan, kemahiran, dan sebagainya.
- Pendedahan kepada peluang untuk mendapat profession yang lebih mencabar yang mengambil lebih daripada satu bidang ketika di IPT seperti ketenteraan dan kejuruteraan (UPNM), sains dengan agama (UM-Sains Gunaan dgn Pengajian Islam, USIM) dan lain-lain jika berkaitan.
- Aktiviti LDK yang lebih membawa kepada membina jatidiri, semangat, kreatif, berani, berfikiran jauh dan sebagainya perlulah diterapkan dan diperjelaskan sebaiknya.
- Persediaan kepada plan-plan 'backup' lain perlu disediakan untuk digunakan sebagai alternatif sekiranya terdapat masalah ketika program. Hal ini bagi memastikan matlamat utama kepada kumpulan sasaran tercapai.
Walaubagaimanapun, ini sebagai satu usaha untuk memantapkan lagi program ini di tahun-tahun yang akan datang dan sebarang penambahbaikan bolehlah dilakukan sekiranya ia dirasakan perlu. Semoga semuanya dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk masa depan diri, disamping mengharumkan lagi nama SBPI Selandar. Insya-Allah.
Tq farid atas laporan dan analisis ni. Huhu...x sangka lak ko buat analisis yang begitu persis.
BalasPadamJadi, pada tahun depan utk batch spm06, banyak yang perlu dibaiki lagi. Buat yang terbaik k. Kelemahan-kelemahan yang terdapat untuk program sblum ni boleh lah dikaji semula.
Syukran Farid.