Temuramah : Nurul Atiqah binti Mohd Rawi= 11A (8A+,3A)

TEMURAMAH ALUMNI

Tahniah kepada anda kerana memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM 2009. Kami dari Alumni SBPI Selandar Blog ingin mengambil peluang menemuramah anda bagi berkongsi pandangan, idea dan pendapat tentang kejayaan anda dan untuk mencapai kecemerlangan. Kami ingin menanyakan 12 soalan dan berharap anda dapat memberikan sokongan dalam memberi inspirasi dan tips-tips kepada warga SBPI Selandar khususnya adik-adik yang sedang meneruskan pembelajaran di SBPI Selandar.


1.Terangkan secara ringkas tentang diri anda.

Nama : Nurul Atiqah binti Mohd Rawi

Kelas : 5 Al-Razi

Dorm : 7 Pengawas

Rumah sukan : Proton

2. Apakah perasaan anda setelah mendapat keputusan SPM yang cemerlang ini?

Alhamdulillah..sangat bersyukur. Lega pon ada sebab penantian telah berakhir. Tak kurang juga rasa takut sebab inilah starting point untuk kehidupan yang lebih mencabar selepas ini.



3. Siapakah yang menjadi pendorong kepada kejayaan anda?

Pendorong utama kejayaan ini sudah pasti ibu tercinta kemudian barulah ayah dan famili yang lain. Bagi saya membanggakan kedua ibu dan ayah adalah suatu kemestian dan benefits yang saya dapat selepas itu merupakan bonus untuk diri saya. Kedua…guru-guru juga merupakan pendorong terkuat yg banyak membantu saya dalam pelajaran dan yang paling penting tak pernah jemu ajar saya walaupun saya tanya soalan yang sama berulang kali. Ketiga...rakan-rakan. Mereka pesaing saya secara sihat. Jatuh bangun saya di SBPI Selandar juga bersama teman-teman. Gembira bersama....menangis bersama. Mereka ibarat sebahagian daripada diri saya.



4. Apakah perkara yang memotivasikan anda dalam menempuh dugaan dan cabaran semasa pengajian di SBPI Selandar sehingga mendapat keputusan SPM yang cemerlang ini?

Perkara yang paling utama menjadi pemacu semangat saya di SBPI Selandar ialah tanggungjawab yang saya pikul sebagai seorang Penolong Ketua Pelajar. Tanggungjawab yang sangat berat namun ia merupakan pendorong semangat yang paling kuat sebenarnya. Perlu sentiasa menjadi contoh kepada adik-adik junior lantaran kita sentiasa diperhatikan sama ada dari aspek sahsiah diri mahupun akademik. Oleh itu saya ingin sentiasa menjadi yang terbaik. Lagipun, kadang-kadang para guru selalu timbang tara keputusan peperiksaan antara barisan kepimpinan dan pelajar biasa. Itu juga sangat mendorong saya untuk sentiasa mengekalkan keputusan yang baik dalam setiap ujian dan pencapaian. Pernah suatu ketika sahabat berjumpa saya secara personal mengkhabarkan suatu berita yang benar-benar membuatkan saya kelu dan terdiam seketika. Ia mengenai luahan rasa tidak puas hati seorang guru yang mengajar saya. Ia mengenai keputusan saya yang sangat teruk dalam subjek beliau. Tidak sepatutnya saya memperoleh keputusan sedemikian rupa. Walaupun saya sibuk dengan tugasan saya, tetapi tanggungjawab saya sebagai seorang pelajar tetap tidak boleh diketepikan. Itulah kata-kata beliau yang saya masih ingat sampai hari ini. Sememangnya kadang-kadang kesibukan menjadi cabaran yang sangat hebat lebih-lebih lagi pada awal tahun dan sekitar minggu peperiksaan. Namun begitu, dalam pada rasa malu mula menguasai diri, saya mula berasakan satu kesyukurang yang amat dalam. Kata-kata cikgu tersebut ternyata membuatkan saya lebih sedar dan semangat saya bangkit. Sejak hari itu, kata-kata cikgu tersebut saya bawa dan saya pegang kuat dalam menelusuri setiap detik kehidupan saya di sekolah sebagai seorang yang memikul tanggungjawab dan amanah terhadap sekolah. Cikgu tersebut ialah Encik Zamir, cikgu kepada matapelajaran yang paling saya minat iaitu kimia. Terima kasih cikgu!!

Tidak kurang juga, keputusan SPM 2008 memang ternyata memberi cabaran yang sangat hebat kepada saya dan rakan-rakan untuk cuba mengatasinya. Sehingga hampir kepada peperiksaansekalipun, para guru masih menghangatkan semangat kami dengan keputusan SPM senior 2008 yang ternyata sangat hebat. Saya secara individu memang sangat-sangat tercabar dan alhamdulillah rasanya boleh tersenyum gembira sekarang..hehe

5.Apakah prinsip kehidupan yang anda pegang untuk terus memajukan diri dan memacu kejayaan?

Prinsip kehidupan.......apa yang penting bagi saya ialah ibu dan bapa saya sentiasa bangga dengan pencapaian saya. Saya tidak suka untuk mengkhabarkan berita yang tidak sedap didengar oleh ibu dan ayah. Oleh itu saya sentiasa lakukan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada kedua orang tua saya.

Jangan salah pilih kawan!! Pilihlah sahabat yang boleh membawa anda menggapai impian anda di dunia mahupun akhirat.

Aku tak boleh pentingkan diri!! Sentiasalah peka terhadap pencapaian rakan-rakan anda. Jangan biarkan rakan-rakan anda jauh ketinggalan sedangkan anda memacu kejayaan jauh ke hadapan. Kejayaan bersama lebih manis daripada kejayaan bersendirian. Kadangkala ada rakan-rakan yang sangat mengharapkan perhatian dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan yang lain. Jangan lokek ilmu dan kemahiran dalam sesuatu subjek. Bantulah rakan-rakan anda untuk anda dibantu oleh yang Maha Esa dalam setiap urusan anda.

Sekiranya aku bantu agama Allah, maka Allah pasti membantu aku!! Jangan takut menegur rakan-rakan yang melakukan kesalahan seperti couple. Jangan tutup kesalahan rakan-rakan seperti bawa barang haram ke sekolah dan sebagainya. Permudahkan urusan para guru sama ada di sekolah mahupun di asrama.

Masih terlalu awal untuk aku bercinta!! Masalah yang paling lazim berlaku di mana-mana sekolah sekalipun iaitu cinta zaman persekolahan. Bercinta dengan ilmu terlebih dahulu. Rasailah betapa nikmatnya percintaan dengan ilmu dan buku. Mahabbah sesama manusia itu memang perlu namun ia perlu sentiasa dibatasi dengan iman. Sabda Rasulullah s.a.w ”Man laa yarham,laa yurham”. Sesiapa yang tidak menyayangi, tidak akan disayangi. Iman seseorang itu tidak akan sempurna selagi dia tidak menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri.

6. Pada pandangan anda, apakah kelebihan yang terdapa
t di SBPI Selandar berbanding Sekolah Berasrama Penuh ( SBP) yang lain?

Kelebihan SBPI Selandar ni banyak sebenarnya. Bagi saya, guru-guru merupakan kekuatan kepada sekolah. Walaupun rata-rata guru masih muda dan masih baru, namun tiada bezanya guru-guru kita dengan tenaga pengajar di SBP yang lain yang lebih berpengalaman. Semangat guru-guru saya nampak melebihi semangat pelajar sendiri. Selain teknik dan kemahiran yang mendalam dalam sesuatu subjek, guru-guru juga seperti seorang motivator. Dalam marahnya ada suntikan semangat, dalam pujiannya ada harapan dan rangsangan untuk berjaya. Jasa guru-guru sememangnya terlalu banyak untuk dibalas. Saya akan ingat jasa guru-guru SBPI Selandar sampai bila-bila.

Selain itu, kelebihan SBPI Selandar ialah amalan solat dhuha yang menjadi ikutan daripada senior-senior terdahulu. Amalan solat dhuha juga merupakan kunci kepada pintu-pintu rezeki Allah.

7.Bagaimanakah SBPI Selandar boleh mempertingkatkan lagi usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi pelajar yang mendapat straight A+’s ?

Jika PM kita menyeru kepada semangat 1MALAYSIA maka saya berpendapat SBPI Selandar perlu menyeru kepada semangat 1BATCH. Tingkatkan semangat 1BATCH dalam setiap tingkatan. Kesan positifnya sangat banyak, antaranya ia mendorong semangat untuk saling membantu sesama rakan. Alert dengan pencapaian rakan-rakan. Pendek kata jatuh bangun bersama-sama.

Pemantauan secara terus daripada pihak pentadbir kepada setiap keputusan peperiksaan pelajar dan pelaksanaan study group yang berkesan di samping program-program anjuran kaunselor perlu diteruskan secara lebih berkesan.

8.Adakah anda melihat aktif dalam kokurikulum memberi kesan kepada kecemerlangan anda? Bagaimana?

Saya menyokong statement ini. Apabila aktif dalam kokurikulum, kadang-kadang terlepas kelas atau mungkin seharian tak masuk kelas. Mungkin banyak topik tertinggal. Ini sebenarnya boleh dijadikan ”reverse psycology”. Bangkitkan semangat dengan menjadikan ia sebagai peluang bukan sebagai masalah. Saya akan kembali bersemangat untuk buktikan bahawa sekalipun saya tertinggal banyak perkara, tetapi saya tetap boleh menyaingi rakan-rakan yang lain malah boleh juga menjadi yang lebih baik daripada mereka. Hendak seribu daya, mahu seribu cara.



9.Bagaimanakah anda membahagikan masa anda di sekolah untuk mencapai kejayaan? Bolehkah anda berkongsi bersama kami .

Pembahagian masa belajar bergantung kepada setiap individu sebab hanya diri sendiri sahaja yang tahu kelemahan dan keistimewaan dalam diri masing-masing terhadap sesuatu mata pelajaran. Saya tak reti stay up. Memang apabila dah light off kat asrama, mata pun turut light off sekali. Penat sangat kadang-kadang tu tidur lebih awal daripada masa light off. Saya juga bukan kaki bilik study atau bilik rehat asrama. Cuma apabila menjelang peperiksaan, saya perlu untuk stay up dan ke bilik rehat asrama untuk ulang kaji pelajaran hingga limit masa sampai pukul 2 pagi. Apa yang saya nak kongsi di sini, macam mana permainan sukan perlu ada strategi, belajar juga begitu. Rancanglah strategi belajar anda mengikut kesesuaian diri anda. Apa yang saya lakukan, saya tidak membezakan homework dan study. Maksudnya, menyiapkan tugasan sekolah sambil terus mengulang kaji pelajaran. Setiap masa lapang saya pastikan ia diisi dengan mengulang kaji atau membuat latih tubi. Setidak-tidaknya menyiapkan homework. Persediaan dua tahun untukmenghadapi SPM sebenarnya terlalu singkat. Maka, setiap detik waktu ibarat pedang. Sekiranya kita tidak memotongnya, ia pasti memotong kita.



10. Dalam perancangan anda, kemanakah hala tuju pengajian (Bidang pengajian) yang anda ingin pilih dan universiti manakah yang
anda bercadang untk melanjutkan pelajaran ?


Dentistry in middle east. Sekirayan tiada rezeki, dalam negara pon sudah memadai. Doakan saya terbang ke Jordan menyambung pelajaran.


11. Apakah nasihat dan kata-kata anda kepada adik-adik Junior yang sedang berjuang di SBPI Selandar supaya dapat menjadi pelajar cemerlang dan gemilang?

Secara umum, saya nasihatkan adik-adik sekalian agar belajar bersungguh-sungguh. Selalu muhasabah diri anda dari segi pencapaian anda dalam pelajaran dan peperiksaan. Cepat-cepat rujuk pada cikgu atau kawan-kawan sekiranya menghadapi masalah dalam memahami sesuatu pelajaran dan yang penting jangan bertangguh dalam setiap perkara yang anda lakukan. Berani untuk mengakui kelemahan diri sendiri dan bersedialah untuk dibantu dan membantu rakan-rakan yang lain.

Hormati para guru dan semua warga sekolah termasuk mak cik kantin atau mak cik dan pak cik tukang kebun atau tukang sapu di sekolah. Pendek kata hormati semua orang. Begitu juga ibu bapa dan ahli keluarga. Cari redha mereka sebab anda merupakan seorang penuntut ilmu ALLAH. Redha itu sangat penting untuk menjamin redha ALLAH dalam setiap perjalanan hidup anda sebagai hambaNYA.

Jangan tinggal solat terutama jangan tinggal solat hajat. Istiqamah dalam solat hajat dan amalkan solat dhuha. Satukan hajat sama-sama dalam satu batch dan aminkan doa bersama-sama dalam satu jemaah form agar ALLAH kurniakan kejayaan kepada batch kalian.

Terakhir, khusus buat adik-adik kepimpinan sekolah, jangan takut hadapi cabaran dalam menjalankan tanggungjawab kalian. Jangan takut tak cukup masa untuk belajar. Jangan takut lihat orang lain mengadap buku tapi kita sibuk dengan tanggungjawab lain. Jadilah orang yang berani menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang dan rintangan emosi. Sejarah telah membuktikan barisan kepimpinan sekolah yang terdahulu berjaya mencapai keputusan yang sangat cemerlang dalam setiap peperiksaan. Pegang kata-kata ini, ”intansurullaha wa yansurukum wa sabbit aqdamaqum” jika kamu bantu di jalan ALLAH, maka ALLAH akan bantu kamu dan kukuhkan kedudukanmu. Tak rugi berjuang di jalan ALLAH. ALLAH pasti menjanjikan yang terbaik untuk kamu. Yang penting jangan putus asa dan sentiasa berusaha memajukan diri.

12. Sila berikan ucapan atau penghargaan anda sebelum mengakhiri sesi temuramah kita pada kali ini.

Pertama sekali saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada blog alumni kerana sudi menemu ramah saya. Setinggi-tinggi penghargaan saya tujukan khas buat ibu,ibu,ibu dan ayah tercinta kerana banyak mendorong dan membantu saya dalam menggapai kecemerlangan seperti ini. Tak lupa juga kepada para guru atas jasa dan pengorbanan kalian mendidik saya, mencurahkan ilmu dan kemahiran kepada saya dan mengajar saya tentang sebuah kehidupan. Saya juga turut berterima kasih kepada pihak sekolah dan seluruh warga SBPI Selandar.

Sekalung penghargaan juga buat teman-teman seperjuangan atas tunjuk ajar, perkongsian ilmu dan sebagainya sewaktu bersama-sama menuntut di sekolah dulu. Tidak kurang juga kepada senior-senior dan junior-junior yang turut sama membantu dalam proses menelusuri setiap detik di asrama dan di sekolah. Sesungguhnya kejayaan ini milik ALLAH atas usaha semua orang bukan semata-mata usaha saya. Terima kasih!!!

Terakhir dan teramat istimewa, ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada Tuan Haji Baharudin bin Husin, mantan Guru Penolong Kanan HEM SBPI Selandar atas bantuan, dorongan semangat,solat hajat dan doa cikgu dalam setiap perjalan saya dan rakan-rakan menuju kejayaan. Terima kasih banyak-banyak. Hanya ALLAH sahaja yang dapat membalas jasa baik cikgu.



Terima kasih atas kesudian anda untuk ditemuramah oleh kami dari Alumni SBPI Selandar Blog, Media Interaktif Alumni SBPI Selandar.
Sesi temuramah ini akan dipaparkan dalam blog Alumni (http://exsbpiselandar.blogspot.com/) . Syabas dan tahniah sekali lagi atas kejayaan anda dalam keputusan SPM 2009 dari kami warga Alumni SBPI Selandar. Semoga, anda dapat terus menyumbang bakti kepada SBPI Selandar dan terus mengukir kecemerlangan. Sekian.


Ulasan

  1. Pandainya Atiqah. Really bangga dengan dia

    BalasPadam
  2. ha ah pandai nye... -ziana

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apakah Itu Kejuruteraan Geomatik UTM?

Program Usahawantani 2013 Untuk Lepasan Diploma dan Ijazah

Kongsi: The Truth about Actuarial Science?