Temuramah : Ameerul Ashraf bin Harunarasid (11A+)

TEMURAMAH ALUMNI


Tahniah diucapkan kepada anda kerana memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM 2010. Kami dari Alumni SBPI Selandar Blog ingin mengambil peluang menemuramah anda bagi berkongsi pandangan, idea dan pendapat tentang kejayaan anda dan untuk mencapai kecemerlangan. Kami ingin menanyakan 12 soalan dan berharap anda dapat memberikan sokongan dalam memberi inspirasi dan tips-tips kepada warga SBPI Selandar khususnya adik-adik yang sedang meneruskan pembelajaran di SBPI Selandar.
 
1.Terangkan secara ringkas tentang diri anda.

Nama: Ameerul Ashraf bin Harunarasid
Kelas 09/10: al-razi
Rumah: Petronas (Ketua Rumah 09/10)
Keluarga: Anak sulung dari 5 adik beradik
SPM: 11A+

2. Apakah perasaan anda setelah mendapat keputusan SPM yang cemerlang ini?

Alhamdulillah...yang paling utama saya amat bersyukur kepada Allah s.w.t diatas nikmat yang tak terhingga. Sudah tentu saya bangga dengan kejayaan ini kerana tidak pernah terduga pun untuk mendapat keputusan ini.

3. Siapakah yang menjadi pendorong kepada kejayaan anda?
Yang paling utama sekali, ibu bapalah yang paling banyak mendorong saya dalam mendorong kejayaan saya ini. Mereka sangat mengambil berat dalam hal diri saya termasuklah pemakanan, disiplin dan sebagainya. Mereka melawat saya tiap-tiap minggu walaupun sekejap untuk memberikan kata semangat dan dorongan. Keduanya guru-guru yang memberi komitmen yang terbaik dalam sepanjang pembelajaran tak akan dapat saya lupakan. Dan tidak lupa juga kepada rakan- rakan yang banyak beri tunjuk ajar kepada saya .

4. Apakah perkara yang memotivasikan anda dalam menempuh dugaan dan cabaran semasa pengajian di SBPI Selandar sehingga mendapat keputusan SPM yang cemerlang ini?
Saya dimotivasikan oleh kejayaan ex-sbpis SPM 2009 iaitu Muhd Syafiq dan Mohd Azfar yang juga mendapat 11A+. Pada mulanya saya fikir ia amat sukar kerana 11A+ itu merupakan satu keputusan yang amat sukar untuk dicapai dan mereka yang terpilih sahaja yang dapat mengecapinya. Oleh itu, lahirnya rasa motivasi untuk berusaha mencapai keputusan yang cemerlang itu kerana jika mereka boleh buat, semua orang boleh buat. Cuma usaha dan keinginan sahaja yang dapat mengatasi segalanya.
5.Apakah prinsip kehidupan yang anda pegang untuk terus memajukan diri dan memacu kejayaan ini?
Prinsip kehidupan yang saya pegang ialah kita harus yakin kepada kebolehan diri dan terus usaha untuk mencapai kegemilangan.Tiada manusia di dalam dunia ini yang sempurna 100% dan Allah mengurniakan kita kelebihan dan kelemahan diri. Oleh itu, yakin pada kebolehan diri sendiri dan menggunakan kelebihan diri kita itu untuk tujuan yang murni. Sebenarnya tiada istilah pelajar pandai atau pelajar bodoh tetapi kecemerlangan itu sebenarnya datang dari kekuatan usaha yang kita lakukan. Jika kita mendapat markah yang rendah, cuba tanya diri kita sendiri. Berapa banyak usaha yang kita lakukan? Faktanya, apa yang kita usahakan , itulah pencapaian kita.

6. Pada pandangan anda, apakah kelebihan yang terdapat di SBPI Selandar berbanding Sekolah Berasrama Penuh ( SBP) yang lain?
Yang pertama sekali dari segi suasananya.Al- maklumlah sekolah kita ini amat jauh dari bandar dan pekan. Kalu ada pun pekan Batang Melaka. Jadi, suasana sebegini sebenarnya memberi impak yang positif kepada pelajar SBPIS kerana ia membantu pelajar untuk lebih fokus dalam pembelajaran dan bukannya ’ fly ’ keluar untuk melepak dan sebagainya. 

7.Bagaimanakah SBPI Selandar boleh mempertingkatkan lagi usaha untuk melahirkan lebih ramai lagi pelajar yang mendapat straight A+’s ?
Kita perlu mula dari awal lagi. Bagi pelajar tingkatan 4 khususnya jangan merasakan diri anda di awang-awangan atau masih ber”honeymoon” dengan keputusan PMR anda. Jangan kita berada tingkatan 5 nanti baru terasa menyesal dengan khayalan kita semasa di tingkatan 4. Jika kita sudah menguasai pelajaran tingkatan 4, kita pasti tidak mempunyai masalah di tingkatan 5.

8.Adakah anda melihat aktif dalam kokurikulum memberi kesan kepada kecemerlangan anda? Bagaimana?
Bagi saya, aktif dalam kokurikulum tidak boleh dijadikan alasan kenapa tidak boleh berjaya. Hal ini kerana, aktiviti kokurikulum ini membantu kita dalam membahagi masa kita dengan baik dan kita perlu menghargai masa ini. Aktif dalam kokurikulum ini sebenarnya memberi kesan kepada kecemerlangan saya kerana ia membentuk kita dari segi disiplin dan dalam pengurusan masa. Kita bukan sahaja ingin berjaya dalam akademik, malahan disiplin dan pengurusan masa ini perlu diiringkan sekali agar kita mencapai kecemerlangan

9.Bagaimanakah anda membahagikan masa anda di sekolah untuk mencapai kejayaan? Bolehkah anda berkongsi bersama kami?
Saya tahu jadual waktu disekolah memang padat dengan belajar, main dan sebagainya. Oleh itu,kita perlu menggunakan masa itu dengan sebaiknya. Sesetengah pelajar mampu stay up hingga 3, 4 pagi. Jika kalian selesa dengan cara itu, teruskan. Apabila ketiadaan guru atau kelewatan, saya akan ambil kesempatan untuk membaca tajuk yang belum diajar oleh guru atau berjumpa dengan guru di bilik guru. Jangan kita menghabiskan masa tersebut dengan bermain dan sebagainya. Tak salah nak main atau bersembang kosong di dalam kelas, tetapi kurangkan. Sekurang-kurangnya kita tahu bezakan waktu main dan belajar.

10. Apakah nasihat dan tip-tip anda kepada adik-adik Junior yang sedang berjuang di SBPI Selandar supaya memperoleh kecemerlangan dalam SPM?
Selain berusaha bersungguh-sungguh, jaga lah hubungan baik antara kita dengan Allah, ibu bapa, guru, dan rakan- rakan. Berkat doa ibu bapa guru dan rakan-rakan adalah pendorong kita untuk berjaya.Selain itu, kita selalu berfikiran ingin menjadi pelajar yang cemerlang. Tetapi bagaimanakah usaha kita tidak seperti pelajar cemerlang dan ia hanya omong-omong kosong. Oleh itu, jika kita hendak berjaya, kita perlu seiringkan usaha kita dengan matlamat dan jangan menunggu kejayaan datang kepada kita kerana yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang.

11. Dalam perancangan anda, kemanakah hala tuju pengajian (Bidang pengajian) yang anda ingin pilih dan universiti manakah yang anda bercadang untuk melanjutkan pelajaran ?
Jika ada rezeki saya ingin melanjutkan dalam bidang perubatan.

12. Ucapan atau penghargaan anda sebelum mengakhiri sesi temuramah kita pada kali ini.
Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan alumnians SBPIS yang banyak memberi dorongan dan tunjuk ajar kepada saya. Tanpa kalian siapalah saya ini.

Terima kasih atas kesudian anda untuk ditemuramah oleh kami dari Alumni SBPI Selandar Blog, Media Interaktif Alumni SBPI Selandar. Sesi temuramah ini akan dipaparkan dalam blog Alumni (http://exsbpiselandar.blogspot.com/) . Syabas dan tahniah sekali lagi atas kejayaan anda dalam keputusan SPM 2010 dari kami warga Alumni SBPI Selandar. Semoga, anda dapat terus menyumbang bakti kepada SBPI Selandar dan terus mengukir kecemerlangan. 

Sekian.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apakah Itu Kejuruteraan Geomatik UTM?

Kongsi: The Truth about Actuarial Science?

Program Usahawantani 2013 Untuk Lepasan Diploma dan Ijazah